Tuesday 27 November 2012

...TAUHU SUMBAT DAN KUAH KACANG...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Hari ini kami akan kongsikan resepi tauhu sumbat dan kuah kacang kepada anda semua... Jom salin resepi ini...~


Bahan yang diperlukan
Bahan
4      keping          tauhu
100  gram            timun-dihiris jejari
100  gram            lobak merah-dihiris jejari
25    gram            sengkuang
    
            Kuah Kacang
200   gram          kacang tanah
15     gram            cili kering
5       gram           belacan
5       gram           bawang putih
125   ml                 santan
30     ml               air asam jawa
125   ml                 air
5       gram           garam
30     ml               minyak masak

Prosedur Memasak:
1.      Basuh tauhu dengan air dan toskan.
2.     Tauhu digoreng terendam hingga kekuningan. Setelah masak, angkat, tos dan sejukkan seketika.
3.    Potong tauhu secara menyerong (segitiga). Belah ditengah-tengah tauhu untuk memasukkan sayuran.
4.    Masukkan timun, lobak merah yang telah dihiris bersama tauge. Sumbat hingga padat.

    Kuah Kacang

1.           Goreng kacang tanah sehingga garing tanpa menggunakan minyak.
2.         Setelah garing, biarkan  sejuk untuk memudahkan proses mengupas kulit kacang tersebut.
3.         Tumiskan bahan-bahan tumbuk (bawang merah, bawang putih,cili dan belacan) 
4.         sehingga garing.
5.         Kemudian masukkan kacang dan sedikit air asam jawa. Kacau sehingga sebati.
6.         Kemudian masukkan santan dan masak menggunakan api yang pelahan sehingga pekat dan perasakan dengan gula dan garam.
7.         Masak sehingga kuah kacang terbit minyak dari santan tadi, pastikan kuah kacang sentiasa di kacau.

Selamat mencuba resepi ini ye....~


-Hawari, Rubi & Zainor-

Monday 26 November 2012

...KERABU KACANG BOTOL DAN TAUGEH...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Hari ini kami akan kongsikan resepi kerabu kacang botol dan taugeh kepada anda semua... Jom salin resepi ini...~


Bahan yang diperlukan
45 gram                kacang botol (dihiris nipis)
50 gram                taugeh (dicelur)
60 gram                kelapa parut
75 gram                bawang besar (dihiris)
55 gram                limau nipis (ambil jus)
5   gram                garam
10 gram                gula

Bahan yang dikisar
15 gram                cili merah
45 gram                bawang merah
50 gram                udang kering
35 gram                kunyit hidup

Prosedur memasak:
1.           Masukkan bahan yang dikisar, kelapa dan garam dalam kuali.Kacau sehingga agak kering.
2.         Padamkan api.
3.    Masukkan semua bahan sayuran, gula dan jus asam limau. Kacau rata dan perasakan dengan gula dan garam.
4.    Hidangkan.


Selamat memasak....

-Hawari, Rubi & Zainor-

Sunday 25 November 2012

...DAGING SALAI MASAK LEMAK CILI PADI...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Hari ini kami akan kongsikan resepi daging salai masak lemak cili padi kepada anda semua... Jom salin resepi ini...~


Bahan yang diperlukan :
500 g  daging batang pinang
15 g      cili padi
5 g       kunyit hidup
2 g       bawang putih
5 g       bawang merah
20 g    serai
2 g       asam keping
300 g  santan pekat

Prosedur memasak :
1.           Pastikan bahan-bahan disediakan terlebih dahulu.
2.         Bersihkan daging dan masukkan daging tersebut ke dalam periuk untuk direbus.
3.      Rebus daging sehingga empuk dan kemudian bakar diatas api/oven selama 5 minit dengan menggunakan suhu 200°c.
4.        Setelah daging dibakar, hiris daging tersebut menjadi nipis.
5.         Proses seterusnya adalah mengisar atau menumbuk cili padi bersama-sama kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah sehingga lumat. Kemudian masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam periuk dan masukkan serai yang telah dititik tadi. Tumis semua bahan tersebut dengan menggunakan sedikit minyak.
6.        Dengan menggunakan api yang perlahan, masukkan santan dan secawan air dan pastikan sentiasa dikacau.
7.        Setelah kuah agak mendidih, masukkan asam gelugor dan daging salai. Sesuaikan rasa dan kemudian masukkan sedikit garam. Pastikan sentiasa dikacau supaya tidak pecah minyak sehingga masak.
8.       Hidangkan masakkan daging salai masak lemak cili api semasa panas dan hiaskan dengan daun pudina dan cili merah.

Selamat memasak....~


-Hawari, Rubi & Zainor-

Saturday 24 November 2012

…PULUT SERUNDING…


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua…

Hari ini kami akan kongsikan pula resepi kuih pulut serunding… Jom salin resepi ini…~

Bahan yang diperlukan
Bahan untuk serunding :
50 gram         kelapa parut
5 gram            serai*
10 gram           bawang putih*
30 gram          bawang merah*
5 gram            lengkuas*
10 gram           cili merah*
5 gram            ketumbar*
5 gram            jintan putih*
5 gram            jintan manis*
10 gram          udang kering*
15 gram          gula pasir*
Garam secukupnya

Bahan untuk pulut :
300 gram       beras pulut
150 ml             santan cair
2 helai             daun pandan
Garam secukupnya

Prosedur memasak :
Untuk serunding :
1.         Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
2.       Bahan-bahan yang dikisar, ditumis sehingga harum. Kemudian masukkan garam dan juga kelapa parut, gaul rata.
3.       Kecilkan api dan masak sambil dikacau selalu hingga serunding berderai tetapi tidak kering. Setelah sejuk, angkat dan biarkan seketika.

Untuk pulut :
1.         Panaskan kukusan. Kemudian masukkan pulut dalam bekas dan tuang santan cair sehingga paras pulut.
2.       Masukkan garam dan gaul rata. Letak daun pandan dan kukus 20 minit.
3.       Setelah itu, gaul pulut lagi dan kukus lagi selama 5 minit. Angkat dan sejukkan.

Untuk pulut serunding :
1.         Pastikan sarung tangan dengan plastik bersih, kemudian ambil sedikit pulut dan kepalkan.
2.       Selepas itu golek dengan serunding sehingga membaluti pulut. Seterusnya lakukan langkah yang sama seperti yang pertama pada baki pulut yang lain.


Selamat mencuba ye...

-Hawari, Rubi & Zainor-

Friday 23 November 2012

...PAU EMOSI...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua...

Hari ini kami akan kongsikan resepi pau emosi yang kami pernah buat.... Jom salin resepi ini...~ 



Bahan-bahan yang diperlukan
Bahan-bahan inti :
250 gram                   kentang
100 gram                    isi ayam dipotong kecil
50 gram                     rempah kari daging
20 gram                     rempah kurma
5 gram                        bawang besar
5 gram                        bawang putih *
10 gram                      halia * (*ditumbuk lumat)
2 gram                        daun kari
3 gram                        kayu manis
2 gram                        bunga lawang
190 ml                         air
Garam dan gula secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan

Bahan doh pau :
500 gram                   tepung pau
125 gram                     gula halus
20 ml                           minyak jagung
250 ml                         air
6 gram                         yis segera

Prosedur memasak
Untuk inti :
1.         Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang besar, daun kari, kayu manis, bunga lawang, bawang putih dan halia hingga harum.
2.       Masukkan rempah kari dan rempah kurma, kacau dan tuang air. Masukkan ayam dan kacau. Kemudian masukkan kentang dan gaul rata.
3.       Biar mendidih dengan api kecil. Bila inti menjadi pekat, tambah garam secukup rasa dan secubit gula.
4.      Kacau hingga rata dan kering, kemudian masukkan hirisan daun bawang dan gaul rata. Sejukkan selepas di masak.

Untuk doh pau :
1.         Satukan gula dan air, kacau hingga gula larut.
2.       Masukkan yis segera ke dalam tepung dan gaul rata. Kemudian tuang minyak dan gaul sehingga sebati.
3.       Bancuhan air dan gula tadi dituang sedikit demi sedikit sambil digaul hingga mendapat doh yang tidak melekat dimangkuk. Keluarkan doh, tabur sedikit tepung dan uli 10-15 minit hingga mendapat doh yang kenyal.

Kaedah lain untuk menyediakan doh pau :
1.         Masukkan semua bahan-bahan untuk doh pau ke dalam breadmaker.
2.       Pilih set untuk doh dan mula putar bahan-bahan tersebut.
3.       Selepas 30 mini, boleh keluarkan doh dari breadmaker.

Untuk pau :
1.         Keluarkan doh yang telah direhatkan. Bahagi doh kepada beberapa bahagian yang setiap satu beratnya 60 gram dan bulatkan.
2.       Ambil 1 bahagian doh, leperkan dan isi dengan 1 camca besar inti, tutup kemas dan bulatkan semula. Selepas itu, letakkan di atas kertas pau / daun pisang.
3.       Lakukan langkah 2 pada bahagian doh yang lain. Biarkan naik selama 30 – 40 minit.
4.      Setelah siap kukus selama 10 – 15 minit dengan api besar. Sejukkan sebentar sebelum dihidangkan.

Selamat mencuba ye...

-Hawari, Rubi & Zainor-

Thursday 22 November 2012

...MASAK MEMASAK...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua...

Hari ini saya ingin berkongsi cerita sikit tentang kelas amali pagi tadi... Seperti biasa, kelas amali dijalankan pada setiap hari Khamis... Hari ini saya agak terkejut sebab takde spot check pemeriksaan sekuriti oleh pensyarah seperti minggu-minggu sebelumnya... Selalunya sebelum masuk dapur mesti kena lalui sekatan macam dekat airport tu... Kene cek itu ini... Rupanya hari ini pensyarah kami kurang sihat.... Selamat... Heee.... Kadang-kadang sebelum nak masuk dapur ada je yang baru sibuk nak cepit kuku la, cari sudu garfu la, cek stokin pakai ke tak... Eh, sebenarnya tu tak termasuk ye... Heee...

Oklah, hari ini kumpulan kami masak set menu Melayu... Kami masak nasi putih, daging gulai masak lemak cili padi, tauhu sumbat dan kuah kacang serta kerabu kacang botol dan taugeh... Haaaa, banyak kan... Nasi yang kami masak bukan guna periuk nasi karen elektrik tu tau... Kami masak cara tradisional... Atas api... Alhamdulillah nasi masak dengan sempurna... Heee...

Daging salai masak lemak cili padi yang kami masak rasanya sedap... Bahan-bahan untuk buat gulai ni kami tumbuk guna lesung batu... Konon-konon nak buat cara tradisional la kan... Tapi bila tumbuk, bahan-bahannya kurang halus lumat... Mungkin sebab tangan dah penat menumbuk kot... Jadi bila makan gulai tu kita akan dapat rasa macam ada serdak-serdak bahan-bahan tu.... Nak lebih elok gulai tu mesti kita giling atau kisar sampai betul-betul halus ye kawan-kawan...

Tauhu sumbat dan kerabu kacang botol dan taugeh yang kami buat pun rasanya sedap... Wah, semuanya nak sedap je kan... Heee... Tidak mendukacitakan lah kata orang dulu-dulu... Setiap kali cuba masak sesuatu tak semuanya sempurna kan... Nama pun belajar.... Jadi, apa yang kami masak dijadikan sebagai proses pembelajaran... Amboi, ayat....

Ok-ok... Tak nak pot pet berceloteh lama sangat... Sebab apa?? Sebab saya tahu anda semua dah teruja nak tengok hidangan set menu Melayu kami kan.... Haaaa... Jom cuci mata...~


Inilah hidangan yang kami buat siang tadi... Memandangkan ni set menu melayu... Jadi, makan guna tangan ye kawan-kawan... Jemput makan... Heee...~

Nak tahu resepi ini?? Tunggu entri yang akan datang ye.... sabarrrrrrrrr : )


-Zainor-

Wednesday 21 November 2012

...BUAH DURIAN...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Entri yang lepas saya ada cerita sikit pasal durian kan... Hari ini saya akan kongsikan info yang saya dapat melalui carian di tenet internet... Jom baca...~

Durian ialah spesies beberapa jenis tumbuhan dalam genus durio yang menghasilkan buah beraroma kuat yang boleh dimakan. Ia amat terkenal di asia tenggara di mana ia digelar "raja buah". Saiznya besar, baunya unik dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri. Dari duri itulah ia mendapat namanya. Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 lb). Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies...

Durian ialah buah tropikal yang berasal dari Brunei, Filipina, Indonesia dan Malaysia, tetapi telah dikenali di dunia barat sekitar 600 tahun. Buah ini boleh dimakan walaupun belum betul-betul masak, dan digunakan sebagai perisa kepada pelbagai jenis makanan berperisa dan manis dalam masakan asia tenggara. Bijinya juga boleh dimakan jika dimasak...

Isi buah ini mengeluarkan bau yang tersendiri, kuat dan tajam walaupun kulitnya belum dibuka. Sesetengah orang menganggap bau durian sebagai semerbak; manakala yang lain berasa aromanya amat kuat dan tidak dapat ditahan. Baunya menarik reaksi daripada penikmatan mendalam kepada amat jijik, dan telah diperikan serupa dengan bau badam, bawang busuk, turpentin dan stokin gim. Bau ini telah menyebabkan larangan buah ini daripada sesetengah hotel dan pengangkutan awam di asia tenggara...

Terdapat lebih 30 jenis spesies durio yang diiktiraf, sekurang-kurangnya sembilan daripadanya menghasilkan buah yang boleh dimakan. Durio zibethinus merupakan satu-satunya spesies yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa: spesies lain hanya dijual untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun terdapat ratusan kultivar durian; banyak pelanggan sukakan kultivar tertentu, yang membuatkan harganya berbeza-beza di pasaran...

Kegunaan buah durian
  1. Buah durian dapat diolah menjadi berbagai jenis makanan seperti dodol, bubur kacang, lempuk dan macam-macam lagi.
  2. Di samping buahnya, biji durian juga boleh dimakan dengan di bakar atau di rebus, boleh juga dijadikan kerepek.
  3. Kulit durian juga boleh digunakan sebagai alat penghalau nyamuk, boleh di letakkan di sudut ruangan.
Pemilihan durian
Pemilihan durian di ladang adalah mudah. Buah dari pohon yang sama secara umumnya mempunyai ciri-ciri yang serupa. Lazimnya buah di ladang masak dan jatuh dari pokok, jadi kemasakan buah bukanlah sesuatu pekara yang dibimbangkan.
Pemilihan buah dari luar satu ladang adalah lebih rumit. Berikut adalah sebahagian daripada kaedah pemilihan asas digunakan :
1.   Lazimnya kesegaran dari satu buah boleh dipastikan dari tangkainya. Perhatikan hujung tangkai durian. Apabila hujung tangkai terlihat seperti torehan pisau, bererti kemungkinan besar durian dipetik pada sebelum matang. Juga jika tangkainya sudah kecut berkemungkinan durian tersebut sudah lama gugur. Pekedai yang tidak bermoral akan cuba untuk membalut atau mengecat tangkai untuk menghalang pengesanan mudah. Pekedai yang kurang pintar mungkin juga membuang tangkai durian.

2.   Kebanyakan peminat menggemari buah durian yang isinya kering dan matang. Satu jalan mudah untuk mengetahui samaada isi kering tanpa membuka buah adalah dengan menggoncangkan buah dan mengesan getaran kecil. Isi durian yang lembap melekat pada kulit buah. Isi durian yang kering cenderung untuk berpisah dari dinding buah. Seseorang mestilah berhati-hati agar tidak tercedera oleh duri buah durian ketika melakukan perkara ini.

3.     Durian mungkin diserang oleh perosak yang bertelur di dalam buah yang berkembang menjadi larva seperti ulat. Amat penting ketika membeli buah durian untuk mengelakkan membeli buah yang mempunyai sebarang lubang pada kulitnyanya kerana ini sering kali menunjukkan kemasukan "ulat" ke dalam buah.

4.     Durian yang baik biasanya baunya tercium tajam jika kita menciumnya di kulit durian, Namun perlu hati-hati karena ada beberapa penjual durian yang sengaja menyiramkan air bekas durian di permukaan durian.

5.     Pilihlah durian yang durinya jarang dan agak besar.


Tip mengelakkan badan panas selepas makan durian

      1.      Letak air di bahagian lekukan durian.
2.      Minum air tersebut.

Tips menghilangkan bau durian di tangan setelah memakannya

1.     Ambil kulit durian, isi dengan air di bagian lekukannya.
2.     Cucilah tangan anda di lekukan tersebut.

Tuesday 20 November 2012

...BELACAN...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Hari ini saya akan berkongsi info dengan anda semua tentang belacan... Tahu apa itu belacan? Mesti tahu kan... Jom baca...~

Belacan merupakan sejenis bahan perisa masakan yang diperbuat daripada udang kecil atau  geragau yang dimampatkan dan tahan lama... Ia mempunyai bau yang agak kuat tetapi sedap dan di gemari ramai... Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya... Tetapi belacan kini telah di terima oleh semua peringkat usia dan bangsa di  Malaysia, malah pengeluar belacan yang mengeluarkan secara komersial dan besar-besaran juga bukan hanya terdiri dari bangsa melayu sahaja... Belacan kini digunakan dalam pelbagai resepi masakan pelbagai bangsa juga... Proses pembuatannya agak mudah tapi memerlukan kemahiran untuk menghasilkan mutu dan kualiti belacan agar tahan lama...~

Proses pembuatan belacan

Belacan diperbuat daripada udang yang halus atau udang geragau... udang geragau ini akan dicuci bersih, dijemur dan dicampurkan dengan garam mengikut banyak atau sedikit udang geragau yang hendak dibuat belacan. Kemudian, ia dijemur supaya menjadi kering...


Setelah kering, udang geragau ditumbuk dengan lesung batu sehingga halus. Selepas selesai menumbuk, udang geragau dikepal-kepal dan diambil segenggam demi segenggam untuk dibuat bulatan atau leper...

Selepas siap dibuat, barulah ia dikenali sebagai belacan. Belacan yang siap dibuat akan dijemur sehingga kering dan disimpan di tempat yang mempunyai suhu yang sejuk agar ia boleh bertahan lama...



-zainor-

Sumber rujukan :